Lipatan Pengalaman Haji Lalu




Sedikit perkongsian tentang pengalaman kak ila mengerjakan haji zaman belajar dulu. Tahun 2002.

Allah izinkan kak ila pi haji dengan pak ostat pada tahun akhir pengajian di Jordan. Rindunyaaa Jordan!

Masa tu mengandung 6 bulan anak pertama, haa, gagah tak gagah waktu tu kan...

Ditakdirkan Allah dalam tempoh enam bulan ini kak ila kerap demam dan sakit pinggang, sempat lah kena warded kerana suhu dah tak boleh dikawal. Allahu...hebatnya ujianMu, Kau uji kerana sayang.

Tiba-tiba pak ostat kata jom pi haji. 😱

Nak kata berita gembira ke berita sedih agaknya? Dalam keadaan yang sangat lemah masa tu dan masih di hospital. Sedangkan nak berangkat minggu depan! Allahu Akbar!

Emosi mana stabil sangat waktu ni. Dalam pada memikir nak pergi tak pergi tu, pak ostat kata kalau tak pergi, mungkin peluang ni datang sekali. Betul juga. Orang laki banyak peluangnya dan tidak terikat dengan mahram. Kita perempuan wajib pergi dengan mahram dan izin suami.

Akhirnya, dengan izin Allah kak ila gagahkan jua walau masih tidak sihat mana dan  bergantung dengan ubat.

MADINATUL  MUNAWWARAH

Bermulalah perjalanan ke Madinatul Munawwarah.

Tahu tak kami naik apa? Kapal terbang? Feri? No..no..no!

Naik bas jer. Tak percaya? Kena percaya. Macam dekat jer Madinah tu kan? Macam dari pekan Rawang nak ke tesco pula. Hihi...

Saya & pak ostat bersama jemaah pelajar Malaysia dan sebahagian lagi jemaah mak pak Arab dalam satu bas. 

Jauhnya perjalanan kami, hanya Allah saja yang tahu.  Rasa penat  dan sukarnya ujian naik bas hilang bila mengingat matlamat utama untuk bertemuMu ya Allah. 

Ada kala kami merentas padang pasir yang dah banyak ditumbuhi lalang dan pokok2 kecil. Panas. Kalah aircond bas yang ada. Melihat batu-batu yang hitam pekat dan berkilat kerana hari-hari dibakar cahaya matahari. Terasa perjalanan sangat jauh kerana tiada bangunan dan pemandangan yang lain. Cuma tanah dan pasir.

Seketika singgah makan, makan nasi arab, roti arab, kebab dan lain-lain. Ambil peluang Qadha hajat masing-masing. Cuma yang tak tahan tandas orang Arab ni, jarang nampak bersih. Teringat cerita KHAWATER di Astro Oasis yang popular satu ketika dulu, penyampai sempat membandingkan tandas orang Jepun dengan orang Arab sendiri. Orang Jepun lebih Islam dari kita orang Islam bab kebersihannya, adab-adabnya dan kesedaran siviknya yang tinggi. 

Macam mana nak ubah? Tepuk dada tanya iman. 

Orang kita dengan slumbernya mencampak plastik makanan ke luar tingkap kereta. 

Sorang pakcik kondukter bas pula, satu bakul sampah dituang isinya dalam parit bila basnya bergerak melintas parit, aduuhh! Depan mata kak ila tau. Inikah bangsaku?

Akhirnya sampai juga bas kami di Madinah, Allahu Akbar!

Kami singgah di Bi'ir Ali untuk pasang niat haji. Ambil peluang bersihkan diri, mandi sunat, berwudhuk, yang lelaki memakai kain ihram dan mula bertalbiyah dan berzikir.

Kami sambung perjalanan menuju hotel bajet kami, seadanya dengan kemampuan kami sebagai seorang pelajar.

Kelihatan Masjid Nabawi yang tersergam indah. Terasa Rasulullah memanggil-manggil kami. Syahdu dan terharu...

Walaupun perjalanan memakan masa hampir dua hari ke Madinah, namun terubat bila menjejakkan kaki ke bumi suci ini. Melihat Masjid Nabawi yang segak dan sekitarnya menggamit kerinduan kami kepada Rasulullah SAW. اللهم صل على محمد. 

Kesihatan kak ila masih sama, demam. Terasa macam terawang-awang. Sempat berjumpa doktor lagi untuk ambil ubat demam. Baby kurang aktif bila ibu makan ubat. Bimbang juga, sebab pengalaman pertama.

Masing-masing mengambil peluang sebanyaknya, mengerjakan solat sunat, membaca al-Quran, memasuki Raudhah, ziarah perkuburan Baqi', membeli kurma dan rutob. Kak ila suka sangat rutob dari  kurma sebab lebih rangup dan kurang manis. 

Bila kita telah berada di Madinah, jagalah percakapan dan buang kata-kata yang kurang baik. Banyak bersangka baik dengan Allah. Kalau letak seliper di luar masjid. Minta dengan Allah supaya Allah jaga seliper supaya kekal di situ. Kalau ditakdir hilang juga, kawal emosi, beli jer yang baru. Hihi.  Bila di tolak pak Arab dan mak Arab, sabar...jangan cepat marah. Mohon Allah pelihara kita dan mudahkan urusan kita.

MAKKATUL MUKARRAMAH

Tiba masa kami berangkat ke Makkatul Mukarramah. Sempat singgah di Masjid Qiblatain dan Masjid Quba'. Perjalanan memakan masa enam jam. Alhamdulillah. Masing-masing redha dengan perjalanann yang panjang ini. Zikir peneman kami.

Kali pertama memandang Ka'bah, tak terucap dengan kata-kata...Subhanallah! Masjidil Haram penuh dengan cahaya yang sangat cantik dan indah. Cahaya kesan dari tasbih, takbir, tahmid, tahlil & talbiyah jemaah haji yang bertamu. Di sini kami cuma menyewa rumah kecil. Bukan hotel bajet, bukan hotel 3,4 atau 5 bintang. Alhamdulillah.

Tuan-tuan jangan bimbang, bila kita sampai di Mekah dan Madinah, orang Arab ni dah fasih berbahasa Melayu. Komunikasi mudah kalau kita tak mahir berbahasa Arab pun. 

Makin ramai tetamu-tetamu Allah yang sampai dari setiap pelusuk dunia. Masjidil Haram penuh dengan lautan manusia. Tak dapat tawaf di bawah, kita ada pilihan untuk tawaf di tingkat kedua, ketiga, keempat bagi mengelak kesesakan. Zaman kak ila dulu, cuma ada kerusi roda (wheel chair)untuk tolak jemaah yang uzur. La ni, lebih dari kerusi roda ada, semua untuk memudahkan jemaah yang kurang berkemampuan. 

Kemuncak perlaksanaan haji adalah Wukuf di Arafah, pada 9 Zulhijjah. Awalnya kami bertolak dengan bas, cuma bila banyak kenderaan yang menuju tempat yang sama, sangat sesak dan akhirnya kami pakat jalan kaki. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan kak ila masa tu. Nak menempuh jarak yang jauh, dalam keadaan yang kurang sihat. Kami tetap kena tempuh. Kak ila tawakal, sepanjang perjalanan tu kak ila pejamkan mata,  hanya mengikut pak ostat berjalan. Rasa kaki dah tak jejak ke bumi dan perasaan kak ila tak tahu pergi mana masa tu. Akhirnya sampai ke destinasi yang dituju. 

Begitu juga bila tiba waktu melontar. Kak ila dah takde daya dan kudrat. Cuma pak ostat mewakilkan diri ini menyelesaikan ketiga-tiga jamrah. Kata orang arab, kurang  'zuq' atau nikmat bila kita dalam keadaan lemah menunaikan ibadah. Itulah perasaan kak ila waktu tu.😥

Penting sihat untuk mengerjakan haji. 

Terima kasih sudi membaca coretan kenangan lalu ini. Kak ila berazam dan berdoa moga Allah izinkan diri ini untuk kesana kali kedua. 

Moga kalian semua dapat menunaikan haji juga insya-Allah. Aameen ya Rabb.

Cari-cari juga gambar masa buat haji dulu, cuma belum jumpa. Kalau ada kak ila share insya-Allah😉

No comments

Powered by Blogger.